rahsia umur 60 tahun (c&p)

sebagai renungan bersama: moga ada manfaatnya jua. insyaAllah.

ameeen..

 

Allah memberi perhatian khusus tentang angka 40 ini:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu/berserah diri).” (Al-Ahqaf [ 46 ] : 15)

Ayat ini menyatakan umur 40, iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Syaratnya dimulai daripada sejak dia baligh lagi. Banyak hadis dibacakan oleh Ustaz dan dikisahkan bahawa ramai Ulama’ yang mencapai umur empatpuluhan sudah bersungguh-sungguh dalam beribadah. Sudah mula melipat tempat tidurnya, iaitu mengurangi tidurnya.

Dalam ayat ini juga Allah berpesan supaya;

1) berbakti kepada kedua ibu-bapa (ada ayat lain dalam surah al-Isra’ dan Luqman) kerana jika dia sudah 40 tahun pasti ibu-bapanya sudah melepasi 60 tahun, umur yang memerlukan banyak bantuan.

2) Mensyukuri nikmat iaitu dengan beramal soleh yang diredhaiNya (menjadikan semua nikmat yang Allah berikan kepada kita untuk beramal soleh)

3) Bertaubat dan berserah diri, maksudnya tidak mahu lagi buat maksiat dan menyedari kita adalah hak Allah dan akan kembali kepadaNya. Maknanya apabila sudah mencapai umur 40 tahun sudah tidak ada dosa, sudah capai puncak keIslaman dan berjaya mendidik putera dan puterinya.

Biasanya kita ni jika disebutkan 40 tahun, merasakan masih muda ada pula yang kata “Life begins at 40′. Semua ni tidak betul sebab sepatutnya inilah masa penanda aras menentukan sama ada kita ke syurga atau neraka.

“Jika sampai umur 40 tahun dan tidak ambil tahu langsung tentang asal kejadiannya, dan kewajibannya dan tidak mahu bertaubat, maka Syaitan akan mengusap dahinya dan gembira dia kerana orang ini tidak ada gunanya di dunia dan di akhirat”.

Berkaitan umur 60 tahun pula hadis daripada Abu Hurairah melaporkan Nabi saw sebagai berkata : “Kebanyakan umur umatku adalah 60-70 tahun. Sedikit daripada mereka yang lebih daripada itu”.

Daripada Qatadah; Orang yang dipanjangkan umurnya ialah orang yang mencapai 60 tahun dan orang yang pendek umurnya ialah orang yang meninggal sebelum 60 tahun.

Jadi menurut agama; orang yang dipanjangkan umurnya ialah orang yang mencapai 60 tahun dan lebih. Maka umur 60 tahun ini juga perlu diberi perhatian yang berat. Jangan bangga jika mencapai umur begini masih boleh makan apa sahaja tak perlu pantang sebab umur ini adalah umur batas akhir ibarat jika sudah ada di medan perang tetapi masih belum bersedia dengan peralatan tandanya akan kalah (tiada alasan kenapa tak siap, kenapa tak bawa pedang dan sebagainya sebab masa tu sepatutnya alat dah sedia lengkap).

Oleh kerana itu , amat keterlaluan jika orang-orang yang sudah berusia lebih daripada 60 tahun masih juga melakukan maksiat. Sabda Rasulullah saw, “Allah swt tidak akan menerima dalih/alasan seseorang sesudah Dia memanjangkan usianya hingga 60 tahun”. (HR Al-Bukhari).

Umur ini sepatutnya telah banyak beramal soleh. Tiada lagi tolak ansur yang dibenarkan dalam perbicaraan di akhirat nanti. Umur 60 adalah umur ibarat di medan perang, iaitu jaya atau gagal. Apa jua alasan Allah tidak akan terima. Mengapa demikian?. Lihat surah Fathir [35 ] ayat 11 yang bermaksud:

“Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada (setitis) air benih, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan) dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina) dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah dan tidak diberikan seseorang berumur panjang (dipanjangkan umurnya), juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah”. (Fatir [35] : 11)

Para mufassir menyatakan bahawa 60 tahun adalah umur yang dipanjangkan berdasarkan hadis dan ayat di atas dan juga ayat (Yasiin [ 36 ] : 68) di bawah.

“Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?” (Yasiin [ 36 ] : 68)
Apabila sampai umur 60, tiada lagi peluang. Jika tidak taubat, maka Nerakalah tempatnya.Tidak guna lagi meminta tolong. Dalam surah yang sama Fathir [ 35 ] ayat 37 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan.’ Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun”. (Fathir [ 35 ] : 37)

Dalam ayat di atas, di neraka nanti ada yang mohon kepada Alah untuk dikeluarkan daripada neraka dan kembalikan ke dunia supaya mereka dapat buat amal soleh. Lalu Allah akan menyindir keras, bukankan Aku dah panjangkan umur kamu dan aku beri peringatan.

Pemberi peringatan yang dimaksudkan di sini ialah penuaan seperti uban dan pelbagai penyakit yang bertandang, kekuatan fisikal menurun, mata dah kabur, gigi banyak yang gugur, lututpun kendur dan lain-lain lagi.

Umur 60 tahun sudah dekat dengan ajal kematian. Pada umur ini seharusnya kita “mengintai-intai kematian”, iaitu perjumpaan manusia dengan PenciptaNya. Umur 60 tahun dikira mengikut pusingan bulan dan bukan pusingan matahari, iaitu umur tahun qamariah yakni apabila kita berumur 58 bermakna kita sudah berumur 60 tahun ikut kiraan qamariah.

Ada dalam hadis; tanda tua dan hampirnya ajal ialah uban di kepala. Kata ustaz, ada hadis Nabi saw melarang kita mencabut uban kerana itu adalah “cahaya Iman” bagi mereka yang beramal soleh. Sebab itu jangan dicabut uban. Uban ini akan menjadi saksi pengabdian kita. Jika nak mewarnakannya boleh tetapi dengan sayarat bukan dengan warna hitam.

Sebagai kesimpulan ustaz mengingatkan supaya kita jangan mengambil mudah tentang umur. Ini bukan remeh kerana Allah dah bersumpah dengannya. Kita juga hendaklah berilmu dan beramal dengannya, ada ilmu tetapi tidak beramal bukanlah segala-galanya. Ibadat pula bukan kuantiti tetapi kualiti.

Rasulullah saw bersabda, “Tak akan berganjak kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya, dihabiskan untuk apa; tentang masa mudanya, dipergunakan untuk apa; tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan untuk apa dibelanjakan; dan tentang ilmunya, apakah sudah diamalkan”. (HR At-Tarmidzi).

Usia lanjut juga merupakan sebuah keistimewaan. Dalam sebuah hadits qudsi Rasulullah saw menyampaikan firman Allah SWT, “Demi kemuliaan-Ku, keagungan-Ku, dan keperluan hamba-Ku kepada-Ku, sesungguhnya Aku merasa malu menyiksa hamba-Ku, baik laki-laki mahupun perempuan, yang telah beruban kerana tua dalam keadaan muslim“. Dalam hadits lain beliau bersabda, “Sebaik-baik di antara kalian ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya”. (HR At-Tarmidzi).

Sekian, mudah2an memberi manfaat.

 

Source: http://permatainn.blogspot.com/

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s