sekadar renungan bersama

TUDUNG DAN HUKUM SYARAK

Sekiranya kita telusuri perkara yang berkaitan dengan makanan dan barangan halal dan haram, sejak dahulu lagi, banyak isu yang telah timbul di negara ini.
Kita pernah kecoh tentang isu berus bulu khinzir yang digunakan untuk menyapu mentega apam balik, ayam daging import yang tidak disembelih mengikut syara’, ayam dicampur dengan daging babi di sebuah pasar raya dan terakhir sekali adalah isu sosej yang dibungkus dengan usus babi. Memang tidak dapat dinafikan, umat Islam di negara ini memang sangat peka terhadap isu barangan dan makanan halal-haram. Namun apa yang kerap diperhatikan adalah, kepekaan umat terhadap isu-isu ini hanya muncul buat sementara; umat akan sibuk membuat ulasan, pandangan dan kritikan hanya apabila isu ini panas dimainkan oleh pihak akhbar dan televisyen tetapi sejurus selepas isu-isu tersebut tidak dimuatkan lagi, masyarakat pun terlupa dan pihak yang terlibat pun ikut terlena semula….

Yang lebih menyedihkan lagi adalah, isu makanan halal-haram ini adalah isu yang bermusim yang seringkali dimainkan oleh pihak media cetak dan elektronik setiap kali kemunculannya. Jarang sekali kita melihat isu ini dibincangkan dari aspek pemikiran Islam yang jernih dan juga sistem dan pengaturan yang wajib ada bersamanya. Ini termasuklah mengenai konsep halal-haram di sisi Islam secara terperinci dan seterusnya mengenai penerapan sistem halal-haram yang lebih komprehensif dan mendalam, supaya masalah seperti ini dapat ditangani dengan tuntas.

Tudung – Ya atau Tidak?

Selain isu makanan halal-haram, isu busana Muslimah juga turut menjadi perbincangan hangat dan mendapat respon yang bercampur baur. Sebagai contoh baru-baru ini Pengetua SMK Abdullah Munshi di Pulau Pinang, melarang pelajarnya yang berumur 15 – 18 tahun dari mewakili sekolah dalam perlawanan bola jaring negeri kerana membuka tudung semasa bermain [New Straits Times 23 Mac 2006]; di Pahang, terdapat pula guru di sebuah sekolah aliran agama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang, yang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mereka [Utusan Malaysia bertarikh 25 Februari, 2006]; begitu juga nasib seorang Muslimah, Habsah Jaafar yang dibuang kerja kerana majikannya, Hotel Renaissance, tidak membenarkan beliau memakai tudung semasa berkerja [Utusan Malaysia 27 Februari 2006]. Baru-baru ini pula, Ketua Polis Negara Tan Sri Omar Bakri memeranjatkan banyak pihak dengan kenyataannya mewajibkan polis wanita memakai tudung semasa bertugas dengan alasan keseragaman [New Straits Times 22 Mac 2006] namun isu ini diredakan oleh kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan bahawa pemakaian tudung hanyalah pilihan, bukan wajib, kecuali untuk perbarisan rasmi, di mana mereka perlu mengikuti peraturan [Mingguan Malaysia 26 Mac 2006].

Lebih menyedihkan lagi adalah ’mazhab’ yang dianuti oleh artis dan isteri para menteri; mereka akan memakai tudung hanya apabila melakukan umrah atau haji serta ketika menghadiri majlis keagamaan tetapi akan meninggalkannya apabila tidak terlibat dalam majlis tersebut dan itu pun pemakaiannya tidak mengikuti hukum yang sepatutnya. Artis pula menganggap ‘menudung’ hati adalah lebih utama daripada menudungkan kepala, sehinggakan mereka akan memakainya hanya apabila sudah sampai ‘seru’ seperti kenyataan penyanyi terkenal Siti Norhaliza yang dikhabarkan sebelum ini akan memakai tudung satu hari nanti, dan masih dianggap ‘baik’ oleh sesetengah pihak [Al Islam Ogos 2004 m/s 13]. Selain itu juga, Norhayati Kaprawai dari SIS (Sister In Islam) pernah mengatakan semasa sesi Dialog Islam Liberal di Hotel Selesa, Pasir Gudang bahawa pakaian taqwa itu yang lebih baik daripada menutup aurat.

Respon kepada isu ini menampakkan bahawa ada pihak yang bersetuju dengan pemakaian tudung dan tidak kurang juga pihak yang mengecam. Sebagai contoh, kemunculan ahli parlimen Indera Mahkota, Pahang, seperti seorang pelawak, mendedahkan bahawa anaknya telah dipulaukan di Methodist Girls’ School, Kuantan kerana tidak memakai tudung dan mempersoalkan kenapa berlaku diskriminasi kepada yang tidak bertudung. Sepatutnya Ahli Parlimen terbabit menyokong tindakan tersebut dan memboikot anaknya yang tidak bertudung serta memuji komuniti sekolah tersebut kerana memanifestasikan ruh Islam.

Isu tudung juga hangat diperdebatkan di Perancis dan United Kingdom. Di Perancis sebagai contoh, apabila pemakaian tudung tidak dibenarkan di sekolah-sekolahnya, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam seluruh dunia. Di London pula sebelum ini, Shabina Begum, 17 tahun telah dibenarkan memakai jilbab dan tudung ke sekolah oleh mahkamah, namun begitu keputusan tersebut telah ditarik balik, dan akhirnya dia tidak dapat bersekolah.

Tudung … Hukum Syara’?

Isu tudung pada hakikatnya tidak sepatutnya menjadi polemik masyarakat umat Islam yang tidak berkesudahan. Isu ini bukanlah isu etika berpakaian sehingga ia harus dipertimbangkan sama ada perlu atau tidak, sesuai atau tidak kepada masyarakat kita atau bila dan di mana ia wajar dipakai. Isu ini bukanlah isu yang boleh diperdebatkan atau dibincangkan dalam mencari kaedah perlaksanaan yang terbaik, atau samada ia harus diwajibkan atau tidak. Isu tudung adalah isu yang menyangkut soal hukum syara’ dan kedaulatannya. Oleh yang demikian, umat Islam wajib memartabatkan hukum syara’ dan wajib terikat di setiap masa dan detik tanpa menilai pangkat mahupun kedudukan. Inilah hakikat pemakaian tudung.

Tudung telah diWAJIBkan oleh Allah dalam firmanNya yang amat jelas:

“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” [TMQ an-Nur:31]

Kehendak ayat ini adalah jelas. Allah tidak menerangkan lebih lanjut tentang maksud ayat ini dan tidak terdapat hadis qauli (ucapan Nabi) yang sahih tentangnya. Namun begitu, hadis iqrari (perakuan Nabi) yang sahih tentangnya amat banyak sekali, Ini merupakan hadis berbentuk perakuan Nabi terhadap para sahabat wanita yang semuanya bertudung setelah turun ayat tersebut. Di antaranya adalah:
Yang pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah radhiAllahu ’anha:

“Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya.”

Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya:

“Ketika kami bersama ‘Aisha r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”

Jelas sekali, apabila perintah kewajiban memakai tudung diturunkan, kaum wanita Islam zaman awal tidak mempersoalkan sama ada boleh atau tidak, sesuai atau tidak, bila dan di mana dan tidak pula meminta para cendekiawan atau pemimpin mereka membincangkan soal pemakaian tudung; namun mereka bergegas menyambut perintah tersebut dengan mengoyakkan sebahagian kain sarung mereka untuk menutup kepala dan dada. Mereka melakukannya kerana menginginkan keredhaan Allah semata-mata dan bukan kerana ingin mendapatkan keredhaan manusia atas nama ‘glamour’, peraturan sekolah, undang-undang tempat kerja, periuk nasi, tidak sampai ‘seru’, pakaian ‘taqwa’ lebih baik atau pelbagai lagi alasan yang tidak masuk akal. Golongan wanita Muslim awal seperti inilah sepatutnya dijadikan contoh dan teladan kepada kaum wanita zaman kini untuk segera melaksanakan perintah pemakaian tudung, sekiranya merasakan diri merupakan wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala

Perintah Agama atau Kenyataan Politik?

Jelasnya, tudung adalah kewajiban agama yang penting. Kewajiban ini dihasilkan secara langsung dari sumber-sumber Islam dan bukan merupakan hasil kenyataan politik terkini umat Islam. Hukum tudung telah ditetapkan oleh ulama salaf yang membentangkan keperluannya seribu tahun sebelum fenomena kebangkitan semula Islam. Hari ini , tudung telah menjadi isu kontroversi umat dan ahli politik; oleh itu, motivasi luhur yang menyangkut soal pemakaian tudung bagi menutup aurat hendaklah lahir hanya dari perasaan/ruh Islam dan bukan yang lain. Tambahan pula, pemakaian tudung yang tidak diasaskan kepada rasa tanggungjawab untuk menegakkan hukum syara’ dan mendapat keredhaan Allah tidaklah bermakna di sisiNya. Ini adalah kerana motivasi menutup aurat seperti ini masih tidak dikaitkan kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pahala dan keredhaan Allah hanya akan diperoleh ketika melakukan sesuatu kewajiban semata-mata keranaNya dan bukan atas alasan yang lain.

Khatimah

Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syara’. Ia bukanlah isu yang terkait dengan pilihan peribadi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong. Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syara’nya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperhebatkan. Ini adalah perlu kerana ramai di antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, sama ada oleh individu-individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syara’. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syara’ dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi di dalam masyarakat; tegur menegur atas kebaikan, khususnya di dalam isu pemakaian tudung dan busana Islam yang betul akan berleluasa dan nuansa Islam akan menyelubungi seluruh umat.

Di samping teguran dan tunjukan, hukuman takzir juga hendaklah dilaksanakan oleh negara kepada sesiapa yang tidak melaksanakan pemakaian tudung dan busana Islam yang sah di sisi syara’. Ini pernah dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Uthmaniyyah Turki, dengan mengeluarkan pekeliling mendenda wanita yang tidak memakai tudung. Kalau sekiranya kompromi tidak diberikan terhadap pesalah trafik, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Nooryah Md Anvar [Berita Harian 23 Mac 2006], begitu juga sepatutnya kita melayan kesalahan wanita yang tidak memakai menutup aurat dengan betul. Wanita yang melanggar hukum ini sepatutnya dikenakan denda kerana melanggar hukum syara’.

Semua ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebenar-benarnya kecuali sekiranya semua pihak, tidak kira individu, masyarakat mahupun negara bekerjasama sepenuhnya melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Walaubagaimanapun, perlu diingati bahawa ini hanyalah sebahagian kecil dari hukum Islam yang telah ditinggalkan dan dipandang remeh. Hukum pemakaian tudung wajib dilaksanakan bersama-sama dengan hukum-hukum, peraturan dan sistem Islam yang lain seperti sistem ekonomi, pemerintahan, pendidikan, penghukuman dan sistem sosial. Dengan kata lain, Islam perlulah dilaksanakan secara kaffah (menyeluruh).

Wahai Umat Islam yang dimuliakan oleh Allah, sedarlah bahawa keterikatan kita kepada Islam mewajibkan kita untuk melaksanakan kesemua aspek hukum-hukumnya . Namun, hakikatnya, ini tidak akan mampu dilaksanakan kecuali dengan kita saling bahu membahu berdakwah mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan menegakkan Daulah Khilafah yang akan membawa rahmat keseluruh alam ini. Amin

sumber: Hizbul Tahrir Malaysia

Last Updated on Saturday, 19 July 2008 16:50

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s